header ad

Apa maksud kuasa kuda?

                       


           Kuasa kuda atau lebih dikenali sebagai horse power (hp)  seringkali menjadi antara faktor untuk pelanggan memilih kenderaan yang hendak dibeli. Dari segi sejarah, asal usul penggunaan terma kuasa kuda bermula di Eropah ketika revolusi industri di mana enjin wap air semakin popular. 

           Mereka menggunakan kuda sebagai perbandingan untuk kemampuan enjin yang direka. Kini, 1 unit kuasa kuda diukur bersamaan dengan 1.341 kiloWatt (kW). Watt merupakan unit standard global untuk mengukur tahap kuasa.

            Kuasa kuda yang lebih tinggi memberi lebih prestasi kepada kenderaan. Tetapi seringkali pembeli di Malaysia lebih tertumpu kepada berapa kapasiti enjin kenderaan tersebut untuk memberi gambaran prestasi kereta yang hendak dibeli.

           Dengan perkembangan teknologi automotif, kapasiti enjin yang kecil tidak semestinya mengeluarkan kuasa kuda yang kecil. Sebagai perbandingan, Honda Civic varian 1.5TC mempunyai kapasiti enjin 1.5 liter tetapi menghasilkan kuasa kuda maksimum sebanyak 127kW (170.3 hp) pada 5500 rpm. 

            Perodua Myvi pula mempunyai kapasiti yang sama 1.5 liter tetapi hanya menjana maksimum sebanyak 76kW (101.9 hp) pada 6000 rpm. Kenapa berbeza? Ini kerana Honda Civic tersebut dikuasakan dengan sistem turbo yang mampu menaikkan kuasa kuda dengan membantu proses penyedutan udara ke dalam enjin.


Enjin turbocharged yang digunakan dalam Honda Civic
 
          Pengeluar kereta berusaha untuk menghasilkan enjin yang berupaya tinggi dengan kapasiti yang rendah kerana ia mampu untuk merendahkan penggunaan minyak oleh enjin. 

            Selain itu kapasiti enjin yang lebih kecil dikenakan cukai jalan yang lebih murah, malah sebahagian akan diberikan status kereta bertenaga efisyen yang akan memberi manfaat kepada pengeluar dan pembeli kerana kerajaan memberi insentif khas untuk kenderaan yang memberi kurang mudarat kepada alam sekitar. 

           Pengalaman pemanduan menjadi lebih menarik untuk kenderaan yang mempunyai kuasa kuda yang tinggi. Selain kuasa kuda, faktor lain yang mempengaruhi prestasi kenderaan ialah berat kenderaan, rekabentuk aerodinamik, sistem transmisi, minyak pelincir, teknologi material, sistem elektronik dan saiz tayar. 

           Akhir kata ia terpulang kepada pembeli kerana setiap orang mempunyai pilihan dan keperluan tersendiri bagaimana mereka mahu kereta mereka digunakan. 

Catat Ulasan

0 Ulasan