header ad

Bagaimana karbon dioksida meningkatkan suhu Bumi?

Kini banyak kempen yang digerakkan di seluruh dunia, bukan hanya oleh gerakan sukarelawan tetapi turut disertai oleh ketua negara, presiden dan juga pemilik bisnes besar. Trillion ringgit telah didedikasikan untuk memastikan kempen ini berjaya. Kempen yang dimaksudkan ialah untuk mencegah perubahan iklim.

Apakah yang dimaksudkan dengan perubahan iklim. Ia boleh didefinisikan sebagai perubahan corak iklim global atau setempat, terutamanya perubahan yang jelas kelihatan daripada pertengahan abad ke 20 (tahun 1950) sehingga pengakhiran abad (tahun 2000) yang disebabkan oleh peningkatan karbon dioksida di udara daripada pembakaran bahan bakar fosil. (Definisi daripada Oxford Language)

Apakah bukti perubahan iklim tersebut disebabkan oleh karbon dioksida? Anda boleh membuat ujikaji sendiri dengan mudah di rumah. Boleh ajak anak-anak atau adik anda sekali. Bahan-bahan yang diperlukan.

  1. Botol besar 2
  2. Botol kecil 1
  3. Dua termometer
  4. Lampu meja menggunakan mentol tradisional yang panas (selain LED)
  5. Cuka
  6. Serbuk soda bikarbonat
  7. Belon 
Langkah pertama, dapatkan gas karbon dioksida dengan mencampurkan cuka dan soda bikarbonat dalam botol kecil. Letakkan belon getah pada pembukaan botol untuk mengumpul dan menyimpan gas.

Langkah kedua, masukkan satu thermometer pada setiap botol. Tutup botol pertama dengan ketat dan labelkan. Satu lagi botol anda isi dengan gas karbon dioksida yang dikumpul sebelum ini dan tutup botol kedua tersebut dengan ketat dan labelkan. Anda tidak perlu memastikan karbon dioksida 100% dalam botol tersebut, jika lebih banyak dari botol yang pertama sudah memadai. 

Langkah yang ketiga, letak lampu pada jarak kira-kira 15 cm daripada kedua-dua botol tersebut. Pastikan kedua-dua botol tersebut menerima pencahayaan dan haba yang sama. Biarkan selama setengah jam.

Bandingkan suhu thermometer antara keduanya. Untuk eksperimen yang berjaya, anda akan dapati botol yang mempunyai lebih karbon dioksida mempunyai suhu yang lebih tinggi berbanding botol dengan udara biasa. 



Apakah yang menyebabkan ini terjadi?

Ini adalah disebabkan karbon dioksida merupakan gas rumah hijau yang berupaya menyerap dan memantulkan haba. Lebih banyak kandungan karbon dioksida menyebabkan haba daripada mentol lebih banyak terperangkap dan menyebabkan suhu yang lebih tinggi pada botol tersebut. 

Peningkatan pembakaran bahan bakar fosil semenjak revolusi industri menyebabkan kandungan karbon dioksida di atmosfera bumi meningkat dengan mendadak berbanding sebelum revolusi tersebut. Peningkatan suhu bumi, walaupun pada kadar 1 darjah Celcius, mampu menyebabkan perubahan corak iklim.

Ini termasuk berlaku taufan yang lebih kerap, peningkatan paras air laut disebabkan pencairan ais di kedua-dua kutub, kematian terumbu karang, cuaca berasa lebih panas dan banyak lagi. 


Disebabkan oleh kesan buruk perubahan iklim pada masa akan datang dan yang sudah dirasai sekarang, di mana negara-negara boleh kerugian berbillion bahkan trillion ringgit, ketua-ketua negara dan persatuan gabungan antara negara sudah mula mengorak langkah dan menandatangani perjanjian bagi memastikan segala keputusan yang dibuat selepas ini akan mengambil kira kesan terhadap alam sekitar. 

Perjanjian juga dimeterai untuk membuat transisi daripada industri, kilang dan pembuatan tenaga yang menghasilkan banyak gas rumah hijau ke arah menjana dan menggunakan tenaga daripada sumber yang diperbaharui seperti tenaga solar, kincir angin, empangan hidroelektrik dan juga tenaga ombak.



Syarikat-syarikat kereta pula kini telah komited untuk menyertai revolusi kenderaan elektrik sepenuhnya dan kita boleh melihat perkembangan tersebut kini amat positif di mana sejumlah 3 juta kenderaan elektrik penuh terjual pada tahun 2020, iaitu mewakili 4.6% jumlah keseluruhan kenderaan terjual 2020. Jika dibandingkan pada tahun 2019, 2.1 juta kenderaan elektrik terjual. Pada tahun 2021 pula, walaupun baru setengah tahun berlalu, 2.65 juta kenderaan elektrik berjaya dijual, walaupun dengan kekangan pandemik.

Sumber: https://www.ev-volumes.com/


Ianya amat memberangsangkan dan Malaysia seharusnya lebih agresif dalam penyertaan transisi ke arah tenaga diperbaharui dan kenderaan elektrik dengan menyediakan infrastruktur dan polisi yang memberi kemudahan dalam perkembangan teknologi ini. Ia juga akan memberi keuntungan jangka panjang kepada negara dari segi ekonomi dan iklim jika kita lebih agresif dalam menjuarai teknologi hijau.

Sumber gambar daripada pexel.com (free to use image)

Catat Ulasan

0 Ulasan