header ad

Perbezaan Perodua Axia Varian E, G, SE dan Advance

                  


           Perodua Axia merupakan model Perodua yang terlaris untuk model terkini. Walaupun dengan kehadiran model baharu Perodua Myvi, Axia tetap mempunyai segmen pasaran yang lebih besar. Selain sebagai kereta pertama untuk mereka yang baru bekerja, ia juga menjadi pilihan sebagai kereta kedua kerana harganya yang mampu milik dan penjimatan minyak. Axia mempunyai empat varian pilihan, iaitu E, G, SE dan Advance. Di sini kami ingin menghuraikan perbezaan varian Axia. Sebelum itu mari kita lihat persamaan antara varian tersebut.

 PERSAMAAN

             Dari segi dimensi luaran, Axia mempunyai panjang keseluruhan 3640 mm, lebar keseluruhan 1620 mm dan tinggi keseluruhan 1510 mm. Manakala dimensi dalaman ataupun ruangan kabin pula, panjangnya ialah 1900 mm, lebar 1385 mm, dan tinggi 1240 mm. Jarak antara tayar hadapan dan belakang (wheelbase) ialah 2455 mm.  Jarak antara tayar sebelah kanan dan kiri (track), hadapan, 1410 mm, dan belakang, 1405 mm. Semua varian mempunyai radius belokan minimum 4.5 meter.

             Enjin yang digunakan bagi semua varian Axia adalah sama. Jenis enjin yang digunakan tersebut ialah 1KR-VE dengan mekanisma injap (valve) DOHC, 12V, Electronic Fuel Injection (EFI) with VVT-i. Jumlah anjakan silinder ialah 998cc. Dari segi kuasa, enjin Axia mempunyai keluaran maksimum 50kW pada 6000 rpm dan maksimum tork 91Nm pada 4400 rpm. Tanki minyak Axia mempunyai kapasiti 33 liter.


Gambar ruangan enjin Axia varian Advance

             Dari segi aksesori luaran, semua varian Axia menggunakan lampu projektor. Manakala dari segi dalaman pula, semua mempunyai 4 tempat simpan botol, 2 depan dan 2 belakang. Semua varian menggunakan kuasa stereng elektronik dan dilengkapi dengan penutup cermin elektronik. Dari segi keselamatan, semua dilengkapi dengan dwi beg udara SRS, peringatan tali pinggan keselamatan, peringatan kunci dan peringatan lampu hadapan. Karpet, segi tiga keselamatan dan bingkai plet diberikan untuk semua varian.

PERBEZAAN

Axia E


           Axia E merupakan model yang paling asas berbanding varian Axia lain. Ia tidak mempunyai cermin sisi elektronik. Kunci pula tidak dilengkapi dengan pengunci pintu tanpa wayar. Radio dan pembesar suara juga tidak ada. Rim yang digunakan ialah rim besi 175/65 R14. Lampu belakang menggunakan jenis LED dan lensa merah. Pantulan cahaya belakang terletak dalam lampu belakang tersebut. Pada ruangan meter, ia menggunakan iluminasi berwarna amber. Ia menggunakan kerusi jenis standard dengan tempat rehat kepala yang boleh dicabut pada bahagian hadapan. Kerusi belakang pula, tempat rehat kepala tidak dapat dicabut daripada kerusi. Material yang digunakan untuk kerusi ialah fabrik. Hanya transmisi manual yang ada untuk varian ini.



Axia G

            Varian kedua, Axia G merupakan varian yang paling popular berbanding varian lain. Ia dilengkapi dengan radio beserta USB dan pembesar suara, pengunci pintu tanpa wayar juga cermin sisi elektronik. Rim tayar yang digunakan ialah jenis alloy 175/65 R14 dengan 8 spok.  Di bahagian belakang, ia dilengkapi dengan wiper dan penyahkabus. Dalaman ia dilengkapi dengan 2 tempat letak cawan di bahagian hadapan dan 1 di bahagian belakang. Pusat pengunci (central locking), pelarasan ketinggian tempat duduk pemandu, sensor mengundur juga disediakan. Dari segi keselamatan, ia dilengkapi dengan ABS dan EBD, juga cangkuk anti peragut, untuk meletak beg di posisi selamat. Anda boleh memilih opsyen transmisi manual juga automatik.

AXIA SE

             Axia SE ataupun Special Edition, dilengkapi dengan butang penghidup enjin (push-start button) dan kunci tanpa wayar (keyless entry). Dari segi luaran, ia menggunakan rim alloy R14 175/65 5 spok bercorak spiral. Cermin sisi mempunyai lampu isyarat membelok. Lampu kabus disediakan untuk varian ini.  Lampu belakang dilengkapi dengan 3 lampu brek, menggunakan lens lutsinar. Skirting sisi memberi penampilan yang bergaya. Cermin dilengkapi dengan lapisan sekuriti dan berwarna (tinted).

           Dari segi dalaman, meter hadapan menggunakan iluminasi berwarna putih. Kerusi yang digunakan ialah jenis 'semi-bucket'. Kerusi bahagian belakang mempunyai tempat rehat kepala yang boleh dicabut. Material yang digunakan untuk kerusi ialah Fabric (SE grade). Radio dilengkapi dengan penghubung 'bluetooth'. Sensor bahagian hadapan dapat membantu ketika meletak kenderaan di parkir. Varian ini juga mempunyai kedua-dua transmisi, manual dan automatik.

AXIA Advance

Stereng dengan kemasan 'leather', paparan LCD dengan GPS

         Varian ini mempunyai banyak persamaan dengan Axia SE. Perkara yang membezakan antara keduanya ialah varian ini mempunyai paparan informasi LCD termasuk kemudahan GPS. Tetapi kamera mengundur tidak disediakan. Selain itu material yang digunakan untuk kerusi ialah 'leather'. Ia juga digunakan untuk lapisan stereng. Stereng varian ini mempunyai butang untuk mengawal audio. Hanya transmisi auto yang disediakan untuk varian ini.

 

Muat turun risalah produk Perodua Axia di sini


Perodua Axia PDF

Catat Ulasan

0 Ulasan