Perodua secara rasmi telah mengumumkan mereka telah menyerahkan 28 ribu Myvi baharu kepada pemiliknya sejak pelancaran model tersebut pada bulan November tahun lepas. Sungguhpun begitu, jumlah sebenar tempahan yang diterima untuk model tersebut ialah sebanyak 60 ribu tempahan dan semakin bertambah setiap hari.
“Kami berterima kasih kepada pelanggan kami dan kepada rakyat Malaysia kerana sokongan yang kuat terhadap model Myvi, dan kami akan terus memperbaiki masa penyerahan untuk pelanggan kami yang dihargai,” kata Dato’ Dr Zahari Husin, Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd.
Beliau juga berkata pelanggan yang meletakkan tempahan
sekarang untuk Myvi baharu tersebut akan kemungkinan besar untuk menerima
kereta mereka pada masanya untuk cuti Hari Raya. Setakat ini, Perodua telahpun
memenuhi tempahan untuk mereka yang telah menempah pada tahun 2017.
Beliau berkata lagi berdasarkan sokongan yang kukuh terhadap
tawaran terkini Perodua juga permintaan yang sihat untuk model-model yang lain,
Perodua menganggarkan peratus bahagian pasaran untuk bulan Februari ini akan
mencecah 41% dengan 17, 100 kereta terjual berbanding anggaran 41, 100 unit
Total Industry Volume (TIV).
17, 100 unit tersebut terbahagi kepada 6,500 Myvi, 5,000
Axia, 3,700 Bezza dan 1,900 Alza.
Untuk perbandingan dengan tahun lepas, prestasi jualan
Perodua meningkat sebanya 13.1% kepada 34,800 unit berbanding 30,800 unit kenderaan
terjual pada dua bulan pertama 2017.
Perodua menyasarkan untuk menjual 209,000 unit pada tahun
ini, 2% lebih tinggi berbanding 204,900 unit terjual pada tahun lepas.
“Untuk sebarang pertanyaan atau tempahan, kami memohon
supaya pelanggan berurusan hanya dengan kakitangan Perodua yang sah di kedai
Perodua yang sah,” tambah Dato’ Dr Zahari.
0 Ulasan