header ad

Perbezaan Perodua Myvi varian G, X, H dan AV




Setelah lebih 10 tahun berada di pasaran Malaysia, ternyata model ini telah mendapat sambutan yang sungguh hangat sehingga mencecah lebih 1 juta unit terjual sejak daripada pelancarannya. Terlalu banyak Myvi di jalan raya sehingga timbul cerita-cerita ‘legend’ tentang model ini. 

Sepanjang penjualan model ini, terdapat beberapa versi baharu dikeluarkan oleh Perodua. Pada penghujung tahun lepas, negara kita dikejutkan dengan pelancaran versi baharu Perodua yang sememangnya lain daripada sebelum ini.

Boleh dikatakan model Myvi baharu yang dikeluarkan pada kali ini bukannya hanya sekadar ‘facelift’, tetapi merupakan satu model yang baharu 100%. Menariknya, model Myvi pada kali ini bukan model penjenamaan semula daripada model daripada Daihatsu atau Toyota seperti sebelum ini, tetapi boleh dikatakan 99% reka bentuk Myvi ini direka oleh rakyat negara kita sendiri. 

Sudah tentu rakan kongsi daripada Jepun juga terlibat dalam perkongsian teknologi tetapi kali ini, ia banyak mendapat sentuhan daripada tangan kita sendiri. Kali ini kami ingin berkongsi tentang ciri-ciri Myvi baharu ini dan perbezaan ciri-ciri antara setiap variannya.

[Nota: klik untuk besarkan gambar]

Persamaan

Kesemua varian Myvi ini mempunyai panjang keseluruhan 3895 mm, lebar keseluruhan 1735 mm dan tinggi keseluruhan 1515 mm. Jarak antara tayar hadapan dan belakang ialah 2500 mm. 

Bonet belakang boleh memuatkan isi padu sehingga 277 liter. Manakala kapasiti tanki minyak model ini boleh memuatkan sehingga 36 liter petrol. Stereng kereta dikuasakan dengan motor elektrik.

                Pertama kalinya untuk Perodua, model Myvi baharu ini menggunakan lampu jenis LED untuk lampu utama bahagian hadapan. Selain itu, pemilik model ini boleh menyelaraskan ketinggian pancaran lampu tersebut mengikut kesesuaian keadaan di jalan.  

Ia bukanlah seperti sistem sebelum ini di mana hanya 2 pilihan sahaja, iaitu lampu tinggi dan rendah, tetapi pengguna mempunyai lebih banyak pilihan untuk darjah pancaran lampu tersebut. Untuk bahagian belakang, semua varian dilengkapi dengan lampu belakang LED dengan pantulan lampu. 

Semua varian menggunakan penggilap cermin hadapan ‘aeroslim’, iaitu reka bentuk yang lebih aerodinamik. Ia juga dilengkapi dengan pengesan kelajuan, bermaksud, kelajuan penggilap tersebut akan berubah bergantung dengan kelajuan kenderaan.

Lampu Myvi jenis LED

               
Untuk bahagian dalaman, visor matahari pemandu hadapan dilengkapi dengan cermin solekan, manakala bahagian pemandu dilengkapi dengan pemegang tiket. Tingkap kereta hadapan bahagian pemandu dilengkapi dengan perlindungan jem, iaitu jika tingkap tersebut sedang menaik, ia secara automatik berhenti jika mengesan ada penghalang. 

Ia boleh membantu mengelakkan kecederaan ringan jika tangan atau jari tersepit  ketika tingkap tersebut menutup. Semua varian dilengkapi dengan peringatan tali pinggang keselamatan untuk bahagian hadapan, juga untuk pertama kalinya juga, pada bahagian belakang. 

Untuk pemanduan yang lebih senyap, Perodua menggunakan kaca akustik untuk cermin hadapan. Kaca akustik ini berupaya memantulkan lebih banyak bunyi luaran berbanding cermin biasa. Ia menggunakan lapisan khas yang diletakkan antara dua lapisan kaca.

                Aksesori dalaman untuk semua varian dilengkapi dengan poket sisi dan belakang tempat duduk, cangkuk beg beli belah di bahagian hadapan, pemegang cawan (konsol belakang), pemegang botol dan poket pintu di keempat-empat pintu dan lampu dalaman di bahagian hadapan, tengah dan ruangan bagasi.

Papan pemuka Myvi 1.3 G

                Dari segi keselesaan, juga buat pertama kali untuk model Perodua, semua varian menggunakan butang tekan mula untuk menghidupkan enjin. Sistem ini biasanya bergandingan dengan sistem masuk pintar, iaitu kunci kereta akan mengaktifkan sensor dalam kereta dan pengguna cuma hanya perlu menekan butang di pintu untuk membuka pintu, tidak perlu menekan butang buka kunci yang terdapat di kunci. 

Ciri-ciri lain yang terdapat pada semua varian untuk keselesaan ialah stereng boleh aras, kerusi boleh aras ketinggian untuk pemandu dan ketinggian tali pinggang keselamatan boleh laras untuk bahagian hadapan.

                Dari segi keselamatan, semua varian dilengkapi dengan sistem anti-lock braking dengan electronic brakeforce distribution, traction control, emergency stop signal, cangkuk anti peragut, sensor mengundur dan sistem ISOFIX untuk kerusi bayi. 

Tikar karpet, segi tiga keselamatan dan pemegang nombor pendaftaran juga disediakan untuk semua varian. Akhir sekali, untuk persamaan varian Myvi ini, antara yang paling menarik perhatian ialah tayar simpanan untuk model ini ialah sama seperti apa yang digunakan di luar, bukannya tayar jimat ruang seperti yang digunakan sebelum ini. Beli empat tayar, percuma satu.


Set tayar dan rim simpanan Myvi sama seperti yang dipasang di luar

Perbezaan

Myvi 1.3 G

                Myvi 1.3 G merupakan satu-satunya varian yang mempunyai transmisi manual. Ia menggunakan enjin 1NR-VE, 4 silinder, DOHC dengan dwi VVT-i. Ia mempunyai jumlah anjakan silinder sebanyak 1329 cc. Jumlah maksimum kuasa yang dikeluarkan oleh enjin ini ialah sebanyak 70 kW pada 6000 rpm. 

Kuasa maksimum tork pula ialah sebanyak 121 Nm pada 4000 rpm. Penggunaan minyak untuk enjin ini amat jimat, iaitu sebanyak 20.5 km per liter untuk manual, 20.1 km per liter untuk transmisi automatik.  Ia menggunakan rim aloi 175/65 14 inci.

Jarak antara tayar sebelah kanan dan kiri (track), hadapan, 1485 mm, dan belakang, 1475 mm. Semua varian 1.3 mempunyai radius belokan minimum 4.8 meter.

Rim Myvi 14 inci

               
Dari segi luaran, gril hadapan varian ini menggunakan kemasan cat berbanding carian lain yang menggunakan kemasan krom. Cermin sisi boleh dilaraskan menggunakan butang yang terdapat di papan pemuka hadapan. 

    Lampu isyarat belok dipasang di cermin sisi ini juga. Pemegang pintu mempunyai warna yang sama seperti warna badan. Plastik pelindung untuk percikan air (air spats) dipasang hanya di bahagian tayar hadapan.

                Dari segi aksesori dalaman untuk varian ini, kombinasi meter menggunakan kemasan iluminasi berwarna biru dan putih, tetapi tidak menggunakan lingkaran krom. Kluster tengah dihias dengan cat berwarna silver. Manakala tombol penukar gear, kotak konsol dan pembuka pintu dalaman menggunakan warna material asal. 

    Trim pintu diberikan trim penuh menggunakan fabrik. Kerusi untuk varian ini menggunakan fabrik bergred standard. Kerusi hadapan mempunyai bentuk cengkung semi. Kerusi belakang mempunyai nisbah 60:40 dengan tempat rehat kepala yang dicantum sekali dengan badan kerusi.

                Dari segi keselesaan, varian ini menggunakan sistem audio yang dilengkapi dengan sambungan USB. Sistem tersebut menggunakan 2 pembesar suara hadapan dan 2 di belakang, semuanya berukuran 10cm.  

    Dari segi keselamatan, varian ini dilengkapi dengan 4 beg udara keselamatan. 2 terletak di hadapan, dan 2 lagi terletak di bahagian tepi kerusi hadapan yang menghadap ke luar. Varian ini tidak dilengkapi dengan ciri Hill-start assist (HSA), yang mencegah kereta mengundur ketika menaiki bukit, dan sensor hadapan.

Myvi 1.3 X

                Myvi varian X ini menggunakan enjin yang sama seperti varian 1.3 G. Varian ini dilengkapi dengan ciri Eco Idle, yang tidak terdapat pada varian G. Ciri ini membantu dalam penjimatan minyak dan mengurangkan pencemaran dengan mematikan enjin ketika kenderaan tidak bergerak. 

    Tetapi fungsi elektronik seperti kipas penyejuk udara dan radio tidak terjejas. Fungsi ini diaktifkan ketika pengguna menekan brek sehingga kereta berhenti sepenuhnya. Enjin akan secara automatik akan dihidupkan kembali ketika pemandu melepaskan kakinya daripada brek tersebut. 

    Pemandu mempunyai pilihan sama ada mahu untuk menggunakan ciri ini ataupun tidak dengan menekan butang ciri tersebut pada papan pemuka.

                Dari segi aksesori luaran, varian ini mempunyai gril hadapan yang menggunakan kemasan krom. Cermin sisi pula, selain dapat dilaraskan menggunakan butang dalaman, ia juga dapat dilipat secara elektronik. 

    Pemegang pintu luaran mempunyai kemasan krom yang juga digunakan untuk hiasan lampu kabus hadapan, yang tidak terdapat pada varian G. Plastik pelindung untuk percikan air (air spats) dipasang di keempat-empat tayar.

Lampu kabus dengan hiasan krom

                Dari segi dalaman pula, kombinasi meter 1.3 X ini menggunakan hiasan iluminasi putih dan biru dengan lingkaran berwarna krom. Kluster tengah dan pembuka pintu bahagian dalam juga menggunakan lapisan berwarna krom. 

    Tombol gear dan kotak kluster mempunyai bezel yang dicat berbanding warna material untuk varian 1.3 G. Trim pintu dikemaskan dengan trim fabrik penuh dengan tempat letak tangan yang dicat. 

    Kerusi menggunakan fabrik bergred tinggi. Kerusi untuk penumpang belakang mempunyai tempat rehat kepala yang boleh dilaraskan dan dicabut.

Kombinasi meter Myvi 1.3

               
Dari segi keselesaan, varian X ini mempunyai sistem audio yang disertakan dengan sambungan USB dan juga sambungan Bluetooth beserta mikrofon yang terdapat pada papan pemuka radio tersebut. 

    Ia dilengkapi dengan 2 pembesar suara hadapan berukuran 10 cm dan 2 pembesar suara belakang yang berukuran 16 cm. Stereng untuk varian ini menggunakan balutan material kulit. 

    Stereng ini juga disertakan dengan butang audio dan juga butang menyahut panggilan yang berfungsi apabila telefon pemandu bersambung dengan sistem audio kereta menggunakan bluetooth. 

    Tambahan sambungan USB terdapat pada tepi kerusi pemandu yang menghadap ke tengah, juga disertakan dengan poket untuk meletak telefon pada bawah sambungan USB tersebut.

Dari segi keselamatan, varian ini dilengkapi dengan ciri Hill-start assist (HSA) dan juga sensor hadapan. Bekas serbaguna berbentuk cawan disertakan sekali untuk varian ini.

Myvi 1.5 H

                Varian ketiga untuk Myvi baharu ini menggunakan enjin 2NR-VE 4 silinder, DOHC dengan dwi VVT-i. Ia mempunyai jumlah isipadu anjakan silinder sebanyak 1496 cc. 

    Jumlah maksimum kuasa yang dikeluarkan oleh enjin ini ialah sebanyak 76 kW pada 6000 rpm. Kuasa maksimum tork pula ialah sebanyak 136 Nm pada 4200 rpm. Setiap seliter minyak, kereta ini mampu bergerak sehingga 20.1 km dengan sistem ‘Eco-idle’.  

Jarak antara tayar sebelah kanan dan kiri (track), hadapan, 1485 mm, dan belakang, 1475 mm. Semua varian 1.3 mempunyai radius belokan minimum 4.8 meter. Ia menggunakan rim aloi 185/55 15 inci dengan hiasan dwi tona.

Dari segi luaran, ia dilengkapi dengan skirting hadapan dan tepi berwarna hitam yang memberi efek dwi tona terutama untuk model selain warna Granite Grey, dan bumper belakang, juga menggunakan dwi tona. 

    Ia juga dilengkapi dengan spoiler belakang yang lebih panjang dan kelihatan sporty berbanding varian 1.3. Dari segi dalaman, aksesori dan hiasan yang digunakan sama seperti varian 1.3 X.

Skirting depan dan sisi berwarna hitam dan rim 15 inci Myvi 1.5

Dari segi keselesaan, ia mempunyai pembaca kad tol yang dibina sekali, terletak di papan pemuka sebelah pemandu. Fungsinya sama seperti Smart-Tag, yang memudahkan pemandu membayar tol dengan pantas tanpa perlu membuka tingkap dan menunggu lebih lama. Ia diberikan untuk model 1.5 yang dihantar ke semua pelusuk Malaysia walaupun tidak semua negeri mempunyai tol seperti di Sarawak.

Dari segi keselamatan, varian ini mempunyai 6 beg udara keselamatan, pertama kali diberikan oleh Perodua untuk modelnya. 2 beg udara tersebut terletak di hadapan, 2 di bahagian tepi tempat duduk hadapan, dan 2 lagi ialah beg udara langsir, di mana ia akan menutupi seluruh ruangan tingkap ketika dilepaskan.

Myvi 1.5 Advance

                Varian ini merupakan varian aksesori penuh untuk Myvi. Ia mempunyai dimensi dan enjin yang sama seperti varian 1.5 H. Dari segi aksesori dalaman, ia menggunakan tempat duduk dengan kemasan balutan material kulit. 

    Sistem audio untuk varian ini menggunakan sistem multimedia yang menggunakan paparan LED. Ia dilengkapi dengan sistem navigasi dan Smart link yang memudahkan sambungan untuk telefon pintar Android. Paparan ini juga memaparkan kamera mengundur yang hanya dilengkapi untuk varian ini.

Sistem multimedia untuk Myvi 1.5 Advance

                Advanced Safety Assist (ASA) merupakan antara tarikan utama untuk Myvi baharu ini. Ciri ini biasanya disertakan untuk kenderaan yang mempunyai kelas harga yang lebih tinggi daripada Myvi. Ia juga merupakan pertama kali Perodua memperkenalkan ciri ini ke dalam model mereka. 

    Sistem ini menggunakan sensor pada bahagian hadapan yang terletak di hadapan cermin tengah. Ia menggunakan cahaya sebagai stimulus sensor tersebut. Sistem ini mempunyai 4 fungsi utama. 

    Pertama, apabila dalam keadaan berhenti dengan kereta di hadapan, bunyi peringatan akan berbunyi apabila kereta di hadapan sudah bergerak. Ia amat releven untuk masa ini kerana ramai pemandu mengalihkan perhatian ke telefon apabila sedang berhenti. 

                Fungsi kedua ialah memberi bunyi peringatan apabila jarak kenderaan hadapan semakin hampir ketika bergerak. Fungsi ketiga, kereta ini mampu brek dengan sendirinya apabila pemandu tidak mengambil apa-apa tindakan apabila kereta di hadapan semakin hampir dilanggar. 

    Fungsi yang keempat, ketika dalam keadaan berhenti dengan objek  besar seperti kereta dan dinding di hadapan, apabila pemandu secara mengejut menekan pedal minyak, sistem kereta tersebut secara automatik akan membatalkan ‘arahan’ daripada pemandu tersebut, dan kereta tidak akan maju ke hadapan walaupun pedal minyak sudah ditekan.

Harga

Harga di bawah ialah harga atas jalan belum termasuk insurans

Model
Sabah & Sarawak (RM)
Semenanjung (RM)
Myvi 1.3 G Manual
46,300.00
44,300.00
Myvi 1.3 G Auto
48,300.00
46,300.00
Myvi 1.3 X Auto
50,300.00
48,300.00
Myvi 1.5 H Auto
53,800.00
51,800.00
Myvi 1.5 AV Auto
57,300.00
55,300.00

  

Catat Ulasan

1 Ulasan

  1. terima kasih untuk yang bermanfaat ini. awesome.
    https://peroduabranch.online/perodua-batu-caves

    BalasPadam