header ad

Memilih Nombor Plet Sendiri untuk Kenderaan Baharu.



            Berikut merupakan panduan ringkas bagi mereka yang baru pertama kali ingin membeli nombor plet kereta. Ada yang tidak kisah nombor plet yang mereka akan dapat, dan tidak kurang ada yang ingin memiliki nombor kegemaran atau nombor yang memberi maksud tersendiri. 

           Nombor plet atau nombor pendaftaran kenderaan terdiri daripada huruf daerah dan diikuti oleh nombor kenderaan. 

                Contoh, huruf di daerah Kuching bermula dengan huruf QAA manakala, Melaka pula menggunakan huruf MDB. Huruf tersebut adalah terhad dan akan diikuti dengan huruf seterusnya jika nombor yang diberi untuk huruf tersebut sudah habis digunakan. 

               Jumlah nombor yang digunakan bagi setiap huruf tersebut ialah daripada 1 sehingga 9999. Nombor pendaftaran kenderaan ini diuruskan dan diselia di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

              Secara ringkas nombor plet terbahagi kepada beberapa kategori, iaitu nombor 'running', nombor 'booking dan juga nombor 'tender'. Majoriti kenderaan yang didaftarkan merupakan kenderaan yang menggunakan nombor plet 'running'. 


Nombor plet running

              Nombor plet 'running' bermaksud kenderaan yang didaftarkan mengikut nombor terkini yang terdapat dalam sistem pendaftaran JPJ. 

              Contoh, kenderaan didaftarkan menggunakan nombor QCH 1017, 1018, 1019, 1020, 1021 dan seterusnya. Pemilik kenderaan tersebut tidak berhasrat untuk memiliki nombor pilihannya sendiri. Maka, JPJ akan memberi nombor terkini dalam sistem mereka mengikuti huruf daerah pilihan pemilik kenderaan tersebut. 

              Kebanyakan memilih menggunakan nombor 'runnning' disebabkan urusannya yang mudah dan pemilik kenderaan tersebut tidak perlu membayar caj tambahan untuk membeli nombor pilihannya.

              Daripada apa yang saya sebutkan di atas, hanya nombor 'running' sahaja yang tidak dikenakan caj tambahan, tetapi ada pengecualian. Jika pemilik tersebut hendak menggunakan huruf hadapan daerah di negeri luar tempat kenderaan tersebut didaftarkan, terdapat caj tambahan yang akan dikenakan. 


              Contoh, jika kenderaan tersebut didaftarkan di Johor yang menggunakan huruf JST, tetapi pemilik tersebut ingin menggunakan huruf bandar Kota Kinabalu yang menggunakan huruf SY, menggunakan nombor 'running', maka caj RM 140 akan dikenakan untuk pemilik tersebut. Jika kenderaan tersebut didaftarkan di bawah nama syarikat, caj RM 500 akan dikenakan.

Nombor plet booking

              Nombor booking pula bermaksud pemilik kenderaan ingin memiliki nombor plet idaman mereka. Contoh jika pemilik tersebut hanya mahu nombor FB 1979, pemilik tersebut dikatakan ingin menempah atau booking nombor plet nya. Harga asas bagi menempah nombor pilihan ialah sebanyak RM 310. 


               Jika pemilik tersebut ingin menempah nombor tetapi menggunakan huruf negeri lain, maka tambahan caj sebanyak RM 140 untuk individu, dan RM 500 untuk syarikat, akan ditambah dengan caj menempah nombor tersebut.


Contoh nombor pendaftaran kenderaan terkini

Nombor plet tender @ bidaan 


                Nombor tender bermaksud nombor yang dibeli melalui sistem bidaan di bawah JPJ. Tender ini akan dibuka setiap kali huruf baharu akan dikeluarkan semasa huruf sebelumnya  hampir habis. 

                 Contoh, huruf QCG hampir habis digunakan untuk pendaftaran daripada nombor 1 sehingga 9999, maka, bidaan nombor akan dimulakan untuk huruf yang menyusuli iaitu QCH. Ia dimulakan dengan bidaan kerana terdapat beberapa nombor yang unik yang mendapat permintaan yang sangat tinggi. 
                 
             Secara semulajadinya, mengikut dunia ekonomi, semakin banyak permintaan, semakin tinggi harganya. Contoh nombor yang selalu mendapat permintaan tinggi seperti nombor 1-10, nombor gandaan dua seperti 11, 22, 33, nombor gandaan tiga seperti 777, nombor 8888, 8055, 8989 dan 9090. 

            Nombor tersebut akan diberikan kepada pemilik yang menawarkan harga yang paling tinggi berbanding pembida yang lain. Sebagai contoh seperti yang berlaku baru-baru ini, nombor pendaftaran bagi wilayah Putrajaya, iaitu FB 1, berjaya dibida dengan harga setinggi RM 660,000! 



             Setelah nombor dibeli, JPJ memberi tempoh selama 6 bulan untuk nombor tersebut didaftarkan pada kenderaan sebelum tamat tempoh. Nombor yang dibeli secara bidaan diberi tempoh 1 tahun. Jika telah tamat tempoh, nombor tersebut boleh diperbaharui, dengan caj yang berbeza bergantung kepada kategori nombor. 

Nota tambahan

              Caj yang dikenakan mungkin lebih tinggi jika anda menggunakan khidmat orang tengah untuk membeli nombor di JPJ. Ia tidak salah di sisi undang-undang kerana ia juga dijadikan satu perniagaan oleh mereka yang melihat potensi pasaran. Tidak semua mempunyai masa pergi ke JPJ dan beratur di sana. 


              Tetapi ada yang mengambil kesempatan mengenakan caj yang terlampau tinggi. Anda dinasihatkan untuk bertanya secara terus dengan jabatan JPJ terdekat untuk mengetahui harga sebenar dan minta resit rasmi daripada JPJ daripada orang tengah tersebut.

            Tulisan di atas ditulis mengikut pengalaman penulis, ia mungkin sedikit berbeza mengikut negeri dan masa jika terdapat apa-apa pindaan peraturan dan SOP daripada pihak JPJ. 


            Anda ada pengalaman untuk dikongsikan atau cadangan penambahbaikan untuk artikel ini? Silakan kongsi dengan kami di ruangan komen di bawah.

Catat Ulasan

4 Ulasan

  1. Salam sejahtera. Mohon penjelasan, jika kita hendak membeli nombor booking adakah ianya hanya boleh dilakukan apabila nombor itu sudah keluar/running atau boleh booking lebih awal? Contoh sekarang ALD9786, nombor yg kita hendak booking ialah ALE9779?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam sejahtera, maaf lambat balas tuan. Tarikh booking dibuka akan diumumkan oleh JPJ, kebiasaannya apabila siri sebelumnya seperti ALD hampir habis didaftar. Tuan boleh rujuk JPJ terdekat untuk info

      Padam
  2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam