header ad

Perbezaan Perodua Alza Facelift varian S, SE dan Advance

Perodua Alza Facelift 2018


            Perodua Alza merupakan model MPV (multi-purpose vehicle) pertama yang dikeluarkan oleh Perodua pada tahun 2009, tahun yang sama di mana Proton Exora dilancarkan. Alza merupakan MPV dalam segmen B, yang mempunyai 7 tempat duduk. 

           Sejak pelancarannya, Alza telah menerima beberapa penambahbaikan dan juga ‘facelift’. Facelift terkini Alza dilancarkan pada September 2018. Kini, Alza mempunyai tiga pilihan varian, iaitu S, SE dan model aksesori penuh Advance. 

PENAMBAHAN VERSI FACELIFT TERKINI

         Pembaharuan reka bentuk luaran hanya diberikan untuk varian SE dan Advance sahaja, manakala varian S masih menggunakan reka bentuk seperti sebelum ini. 

         Bagi rekabentuk dalaman, semua varian diberikan beberapa pembaharuan. Yang paling menarik perhatian kami ialah penambahan saluran penghawa dingin khas untuk penumpang belakang. Ia tidak dapat dilaraskan untuk memastikan penumpang belakang mendapat udara sejuk paling optimum. Walaubagaimanapun berdasarkan pendapat awam, kebanyakan masih mengharapkan supaya Perodua menambah saluran penghawa dingin pada bahagian tengah seperti yang terdapat dalam Proton Ertiga dan Toyota Avanza. 

Kipas penyejuk udara Alza direka bentuk khas untuk penumpang belakang


              Warna baharu yang diperkenal untuk versi facelift ini ialah Granite Grey, iaitu warna yang mendapat permintaan paling tinggi untuk model Perodua Myvi terkini. Warna ini hanya untuk varian Alza SE dan Advance sahaja. Selain itu, pilihan warna lain yang anda boleh pilih untuk Perodua Alza ini ialah Electric Blue, Mystical Purple, Glittering Silver dan Ivory White. Warna-warna ini tersedia untuk semua varian.

PERSAMAAN
              Semua varian mempunyai tinggi dan lebar luaran yang sama iaitu 1965mm lebar dan 1620mm tinggi. Tetapi varian S (standard) sedikit panjang iaitu 4270mm berbanding SE dan Advance iaitu 4220mm. Ini adalah kerana varian S masih mengekalkan rekabentuk luaran Alza sebelumnya. Hanya SE dan Advance sahaja diberikan rekabentuk yang dikemaskini. Dimensi dalaman pula, semua varian mempunyai panjang 2540mm, 1415mm lebar dan 1310mm tinggi. 
            Jarak antara tayar hadapan dan belakang (wheelbase) ialah 2750mm. Jarak diantara tayar (track) untuk tayar hadapan pula ialah 1475mm manakala belakang ialah 1465mm dengan ketinggian badan dari permukaan (ground clearance) sebanyak 155mm.
           Varian S, SE dan Advance mempunyai sedikit perbezaan dari segi berat iaitu masing-masing sebanyak 1125kg, 1145kg dan 1160kg. Semua mempunyai radius minimum belokan 5.2 meter.
            Ramai yang menantikan Alza menggunakan enjin baharu seperti yang terdapat pada Myvi, Bezza dan Axia terkini iaitu enjin VVT-i. Tetapi Alza Facelift ini masih menggunakan enjin yang sama seperti sebelumnya. Enjin yang digunakan untuk semua varian ialah 1.5 liter DOHC 16 valve 3SZ-VE dengan DVVT dan electronic fuel injection (EFI). Enjin ini menghasilkan maksimum 76kW kuasa pada 6000rpm dan maksimum tork sebanyak 136Nm pada 4400rpm. Kapasiti tanki minyak untuk Alza ialah sebanyak 42 liter.
             Brek cakera digunakan untuk tayar hadapan dan belakang pula menggunakan brek gegendang. Suspensi hadapan menggunakan strut MacPherson dengan gegelung spring manakala tayar belakang menggunakan “torsion beam” dengan batang pengimbang. Semua varian menggunakan rim aloi 15 inci 185/55 tetapi varian SE dan Advance mempunyai kemasan titanium manakala varian S menggunakan kemasan silver.
            Semua varian menggunakan lampu hadapan projektor, lampu belakang LED disertakan dengan lampu kabus. Juga diberikan ialah spoiler belakang, pengelap cermin belakang dan aksesori tambahan di pintu (door moulding). 
Alza Facelift 2018
              Untuk bahagian dalaman, semua varian mempunyai kemasan panel mono tona berwarna hitam berbanding warna kuning air (beige) untuk varian S sebelum ini. Panel meter masih terletak di bahagian tengah papan pemuka. Panel meter tersebut menggunakan iluminasi berwarna putih. Posisi gear dan brek parkir masih sama seperti sebelum ini iaitu untuk transmisi auto, tombol gear terletak di panel instrumen hadapan dengan brek parkir jenis pedal manakala untuk manual, gear terletak di lantai kereta dengan brek parkir tangan. Tempat duduk barisan kedua dan ketiga mempunyai nisbah lipatan kerusi 50:50. 12 volt soket elektrik disediakan.
            Untuk keselesaan, semua varian mempunyai stereng yang dibalut dengan kemasan kulit. Alza masih menggunakan kuasa stereng hidrolik berbanding elektronik untuk model terkini Perodua yang lain. 
             Terdapat beberapa penambahbaikan dari segi keselamatan. Semua varian dilengkapi dengan sistem ABS dengan EBD dan BA. Sebelum ini, ciri ini tidak ada untuk varian S. Dua beg udara SRS, tali pinggang keselamatan pra-tegang, filem cermin solar dan sekuriti premium, sistem ISOFIX, peringatan talipinggang keselamatan, sistem penggera dan penyahgerakan (immobiliser) dan sensor mengundur disediakan untuk semua varian.

PERBEZAAN 

Alza S

        Seperti yang telah diterangkan di atas, varian S tidak menerima rekabentuk baharu seperti SE dan Advance. Kami tidak pasti kenapa, mungkin Perodua ingin menghabiskan stok bumper lama, atau mungkin juga sebagai teknik “upselling” untuk pelanggan lebih tertarik dan membeli varian SE dan Advance.


Rekaan Alza S masih sama seperti sebelumnya

               Varian ini diberikan kemasan skirting hadapan, tepi dan belakang. Kerusi diberikan fabrik bergred standard. Varian manual standard mempunyai rekabentuk kerusi hadapan terpisah. Ini kerana tombol gear manual dan brek parkir terletak di antara kerusi tersebut, berbeza dengan transmisi auto, yang membolehkan kerusi hadapan boleh direka bersambung, memberi ruang yang lebih luas dan selesa untuk duduk. Varian manual S ini juga satu satunya yang diberikan 12 tempat letak botol berbanding varian auto yang diberikan hanya 8 tempat letak botol. Bagaimanapun, varian auto diberikan kemudahan perehat tangan di bahagian tengah dengan ruangan tempat simpan yang boleh dilipat jika tidak mahu menggunakannya.
              Alza varian S ini menggunakan sistem audio dengan USB dan Bluetooth sama seperti varian SE. Karpet fabrik digunakan untuk varian ini.
Alza SE

           Dengan rekabentuk baharu dan aksesori tambahan, varian SE 25kg lebih berat berbanding varian S yang mempunyai berat 1125kg. Ia juga menggunakan lapisan tempat duduk jenis fabrik tetapi dikatakan menggunakan fabrik yang lebih bergred tinggi berbanding varian S. Anda juga akan lihat kemasan berwarna silver digunakan untuk tempat perehat tangan di pintu dan kemasan krom untuk tombol pintu dalaman. 


            Kerusi pemandu untuk varian ini boleh dilaras ketinggian tempat duduknya. Ciri ini tidak ada untuk varian S. Selain itu, penambahan yang terdapat dalam varian ini ialah cakuk penggantung, sensor hadapan dan karpet jenis PVC. Kelebihan menggunakan karpet ini antaranya ia kalis air, lebih efisien memerangkap debu dan senang dicuci.
Alza Advance
             Jika anda berminat untuk memiliki Alza beraksesori penuh asli dihasilkan oleh Perodua, maka Alza varian Advance pilihan terbaik untuk anda. Ia mempunyai semua ciri yang ada pada varian SE.
            Penambahan yang diberikan untuk varian ini ialah tempat duduk berlapiskan leather, sistem multimedia dengan navigasi dan ‘smart link’ android dan monitor LCD di tengah.


        Reka bentuk dalam Alza Advance dilengkapi paparan multimedia dan kerusi leather
SENARAI HARGA

Di bawah ialah harga yang belum termasuk insurans

HARGA (RM)
ALZA S MANUAL
ALZA S AUTO
ALZA SE AUTO
ALZA AV AUTO
SABAH & SARAWAK
53,690
56,490
59,090
64,890
SEMENANJUNG
51,490
54,290
56,890
62,690
LABUAN
50,254.02
47,198.57
54,167.95
59,638.84
LANGKAWI
49,632.29
46,898.71
53,138.25
58,381.85
*Pengguna telefon pintar: pusing untuk paparan penuh

               Apa pendapat anda? adakah anda suka dengan pembaharuan Alza ini? atau anda mahu model baharu untuk menggantikan Alza? Tinggalkan komen di bawah dan jangan lupa Like Facebook kami borneoauto.com

Catat Ulasan

2 Ulasan