Perodua kebelakangan ini memberi semakin banyak klu tentang model baharu mereka iaitu Perodua SUV. Pertama kali ia diumumkan pada acara Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018, ia tidak didedahkan secara sepenuhnya, tetapi hanya dibuat sedikit lubang pada penutup untuk memberi gambaran sedikit tentang model yang bakal dilancarkan tersebut.
Perodua SUV dilengkapi dengan ASA 2.0 |
Kebanyakan memberi gambaran kemungkinan besar Perodua ini akan menyerupai Toyota Rush dan Daihatsu Terios 2018, berdasarkan pengalaman sebelum ini dan reka bentuk yang didedahkan oleh Perodua dalam Facebook rasmi mereka.
Perodua SUV dengan 7 tempat duduk |
Berdasarkan klu di atas, ia merupakan SUV yang mempunyai 7 tempat duduk, sama seperti Toyota Rush versi 2018. Ia juga akan dilengkapi dengan 6 beg udara keselamatan. Kita boleh menjangkakan Perodua SUV baharu ini mungkin akan dianugerahkan dengan penarafan 5 bintang oleh agensi keselamatan kenderaan ANCAP.
Selain itu, berdasarkan poster di atas, ia akan dilengkapi dengan ASA 2.0 dengan pengesan pejalan kaki. Apa maksudnya? ASA ialah singkatan untuk Advanced Safety Assist yang pertama kali diperkenalkan oleh Perodua melalui model Myvi baharu mereka. Ia merupakan ciri keselamatan yang membolehkan kereta tersebut dapat mengesan jarak antara kereta dan objek di hadapan dan sistem komputer akan melakukan tindakan keselamatan berdasarkan kelajuan dan jarak antara objek di hadapan seperti membrek dengan sendirinya.
Jadi kenapa ia dipanggil ASA 2.0? Ini antara yang menarik perhatian kami. ASA yang dipasang pada Myvi sebelum ini hanya boleh mengesan objek besar seperti kereta dan dinding sahaja. Ia tidak dapat mengesan objek lebih kecil dari itu seperti pejalan kaki kerana limitasi kamera pengesan. ASA yang dipasang pada Perodua SUV ini pula dikemaskini dan dapat mengesan objek yang lebih kecil termasuk pejalan kaki dan menjadikannya ciri yang lebih lengkap dan selamat. Ia mungkin ada penambahbaikan yang lain tetapi Perodua belum mendedahkan secara lebih terperinci. Biarlah rahsia bak kata Datuk Siti.
Toyota Rush 2018 |
Apa pendapat anda tentang bakal model baharu Perodua ini dan agaknya berapa harga yang sesuai untuk model ini jadi hangat seperti ketika pelancaran Myvi sebelum ini? Jum komen di bawah.
0 Ulasan