header ad

Apa beza CKD dan CBU?

                 


        Apabila keluar berita berkenaan automotif, selalu kita terbaca tentang dua ringkasan perkataan ini, iaitu CKD dan CBU. Apa maksudnya dan apa siknifikannya kepada anda sebagai pembeli? Kami cuba terangkan seringkas yang mungkin.

        CKD merupakan singkatan dalam bahasa Inggeris untuk Complete Knocked-Down manakala CBU adalah daripada perkataan Complete Build-Up. 

         Asasnya, kedua-dua terma ini ialah berkaitan dengan bagaimana kenderaan baharu diimport dari luar negara. CBU ialah apabila kenderaan yang diimport telah siap dibina, dan hanya menunggu untuk dijual sahaja. CKD ialah apabila bahagian kenderaan tersebut diimport secara berasingan, seperti enjin, casis, tayar dan suspensi lalu dipasang di dalam negara. Dalam kebanyakan kes, CKD juga menggunakan bahagian yang dibuat dalam negara oleh syarikat tempatan menggunakan kepakaran tempatan. 

          Kelebihan CBU ialah anda tidak perlu menunggu lama untuk membeli model tersebut kerana semuanya sudah siap dipasang. Tetapi kenderaan CKD mempunyai lebih banyak kelebihannya.

          Model CKD lebih murah berbanding model CBU, dan boleh mencecah sehingga 20% lebih murah. Ini adalah kerana model CKD mempunyai duti import yang lebih murah. Kerajaan menggalakkan model import dipasang dalam negara kerana ia akan mewujudkan peluang pekerjaan untuk warga tempatan selain mengasah kemahiran mereka. 

         Ia juga berpotensi akan memesatkan lagi industri pembekal ataupun vendor tempatan yang diupah untuk membuat bahagian-bahagian kenderaan tersebut. 

         Bagaimana pula dari segi kualiti? Syarikat-syarikat besar yang membuat kenderaan biasanya bernilai berbilion ringgit, dan sudah tentu mereka mempunyai kepakaran dan mempunyai jabatan khas menjaga kualiti binaan mereka dan mereka akan sentiasa diaudit oleh pihak luar dan juga kerajaan tempatan. Sukar untuk kita melihat perbezaan dari segi kualiti untuk kenderaan CKD dan CBU. Mungkin ada tetapi tidak terlalu siknifikan. 

          Contoh yang kita boleh ambil ialah penjualan model terbaharu oleh Proton iaitu model X70. Setakat hari ini, semua model yang dijual ialah unit CBU, siap dipasang di kilang Geely di China. Proton mengatakan model CKD akan mula dijual selewat-lewatnya akhir tahun ini setelah kilang Proton siap diubahsuai untuk memasang model ini. Kita boleh menjangkakan model ini akan dijual lebih murah daripada harga yang diberikan oleh Proton sekarang. 



          

Catat Ulasan

0 Ulasan