header ad

Harga kereta Nissan Skyline R34 bakal naik mendadak?


Nissan Skyline R34 merupakan antara model kereta yang mempunyai permintaan yang masih hangat dalam kalangan penggemar kereta walaupun dibuat lebih dua dekad yang lalu. 

Bagi penggemar di Malaysia, ia mula dikenali ramai terima kasih kepada pengenalan model tersebut dalam siri permainan video terkenal, Need for Speed Underground. Ia juga mempunya status lagenda disebabkan filem The Fast and The Furious  yang dipandu oleh pelakon arwah Paul Walker. 



Sudah tentu populariti tidak datang percuma. Punca sebenar kereta ini sangat didambakan ialah kerana Skyline R34 merupakan kereta yang sangat berkuasa pada tahun pembuatannya. Enjinnya mempunyai lebih 300 kuasa kuda dan ia menggunakan pemanduan 4 roda. Ia mampu mencecah kelajuan sehingga 300 km sejam.

Walaupun telah berumur lebih 20 tahun, ramai penggemar dunia automotif menginginkan model ini dalam koleksi kereta mereka. Ada yang mahu mengekalkan keadaan kereta seperti baru dibuat di kilang, tidak kurang juga menghabiskan ratusan ribu ringgit untuk modifikasi luaran dan prestasi pemanduan.



Kereta ini dijangka bakal naik harganya dalam sekitar 5 tahun ini. Ini adalah disebabkan undang-undang yang unik di Amerika Syarikat (UK). Tahukah anda Nissan Skyline diharamkan di US? Prestasi yang luar biasa Nissan Skyline antara penyebab menjadikan penggubal undang-undang menggariskan model tersebut antara yang dilarang untuk diimport di US. Mereka khuatir dengan prestasi yang luar biasa, polis tempatan tidak mampu mengejarnya jika pemandunya terlibat dalam jenayah. Sudah tentu terdapat faktor lain yang menjadikannya tidak dapat diimport seperti kadar pencemaran dan keselamatan ketika kemalangan. 

Tetapi jika model tersebut sudah melebihi 25 tahun, syarat tersebut akan dilonggarkan dan proses pengimportan Skyline R34 ke US akan lebih mudah. Di US, semua kereta yang berumur 25 tahun ke bawah dikehendaki mematuhi peraturan NHTSA Federal Motor Vehicle Safety Standards. Peraturan tersebut sangat ketat dan model yang hendak dibawa masuk juga dikehendaki untuk menjalani ujian pelanggaran (crash test) untuk mendapat kelulusan. 


Nissan Skyline varian R34 mula dibuat pada tahun 1998. Jadi keluaran pertama model tersebut akan mencapai umur 25 tahun sekitar 4 tahun lagi. Disebabkan status lagenda model R34 dan kuasa membeli yang kuat di pasaran US, hampir pasti model R34 akan mendapat permintaan yang mendadak di sana dan menyebabkan harga model ini akan mencanak naik. 

Model R34 dibuat diantara tahun 1998 sehingga 2002 (2005 untuk model Nismo Z-Tune) dan jumlah keseluruhan unit yang dibuat hanya sekitar 60,000 sahaja, berbanding model R33 sebelumnya sebanyak 200,000 unit. Ini belum mengambil kira unit yang telah dilupuskan disebabkan kemalangan dan faktor-faktor lain. Ia menjadikan jumlah unit R34 semakin terhad. 



Bagi yang memiliki model R34 sekarang, anda dinasihatkan untuk menyimpannya dan buat penyelenggaraan berkala. Mungkin ada pembeli dari US akan hubungi anda dan menawarkan harga lebih 3 kali ganda harga belian. Siapa tahu. Bagaimana pula pendapat anda berkenaan artikel ini? Lontarkan komen anda di bawah.

Kredit gambar oleh prettymotors.com.

Catat Ulasan

0 Ulasan