header ad

Mercedes Benz CLA180 2015 Recond - pembelian berbaloi?


                Saya pasti ramai yang masih menyangka untuk memiliki sebuah jenama Mercedes, anda perlu menjadi golongan T20, gaji 10 ribu ke atas, golongan usahawan berjaya ataupun lahir dari keturunan berada. 


                Ini bukanlah realiti sebenar. Jika anda mampu membeli kereta, maka anda juga mampu memiliki jenama Mercedes. Sudah tentu banyak pilihan untuk model Mercedes terpakai, bahkan ada yang dijual lebih murah daripada Axia. 

               Untuk artikel ini, saya ingin merujuk kepada Mercedes generasi terbaharu, iaitu Mercedes CLA180.

            Ia dinamakan model 'entry level' untuk Mercedes kerana berbanding dengan model mereka yang lain, model ini lebih mampu milik dengan reka bentuk yang sporty, sesuai untuk golongan muda, termasuk mereka yang mencari kereta pertama. Untuk artikel ini, saya ingin berkongsi spesifikasi untuk model CLA180 auto (base) tahun 2015.


             Ia dikuasakan dengan 1.6 liter 4 silinder inline turbo, yang boleh menjana 122 kuasa kuda, dengan kelajuan maksima 210 km sejam. Ia mampu memecut daripada 0 ke 100 km sejam dalam masa 9.2 saat.

             Kuasa daripada enjin disalurkan ke tayar hadapan melalui kotak gear automatik 7 kelajuan. Kesemua empat roda diperlahankan dengan menggunakan brek cakera. 

            Tangki minyak model ini berkapasiti 50 liter, yang mampu membawa anda sehingga sekitar 470 kilometer. Dengan kapasiti but berjumlah 370 liter, ia boleh menjadi kenderaan harian anda yang praktikal. 

            Model ini merupakan pesaing terdekat untuk model Honda Civic baharu kerana harga Mercedes CLA180 tahun 2015 sangat dekat dengan model Honda tersebut. Jika anda mampu memiliki Honda Civic, maka anda sudah mampu memiliki CLA180. 

            Antara kerisauan utama bagi yang berniat memiliki Mercedes ialah kos penyelenggaraan. Kos servis CLA180 di pusat servis rasmi Mercedes mungkin menakutkan anda. Jika anda mempunyai tempat servis di luar yang dipercayai dan direkomen ramai orang, kos nya lebih kurang sahaja dengan kos servis Honda mahupun Proton. 

              Model CLA180 juga dikatakan sangat 'reliable' kerana, jumlah komponen elektronik dan sensor nya tidaklah sebanyak abang-abang besarnya seperti C-class dan E-class. CLA-class dikatakan menggunakan enjin Mercedes yang masih 'universal', bermaksud enjin tersebut tidak mudah cerewet, dan boleh menggunakan minyak enjin yang lebih pelbagai, tidak terlalu spesifik seperti abang besarnya.

             Untuk maklumat lanjut berkenaan model ini, saksikan video ulasan kami di bawah.


Catat Ulasan

0 Ulasan