header ad

Perbezaan Perodua Bezza varian Standard G, Premium X dan Advance

     


        Perodua Bezza merupakan kereta segmen sedan yang terlaris di Malaysia 2017 dan ia masih menguasai dengan kukuh pasaran tersebut. Ia juga mencatat sejarah sebagai model Perodua pertama bercirikan sedan, di mana sebelum ini, Perodua terkenal dengan pengeluaran model kompak. Ramai rakyat Malaysia menanti-nantikan pelancaran model ini pada 21 Julai, 2016.

PERSAMAAN

           Mari kita lihat persamaan antara varian model tersebut. Dimensi luaran model ini mempunyai kepanjangan 4150 mm dan kelebaran 1620 mm.  Ukuran 'wheelbase' ialah 2455 mm. Ukuran 'track' hadapan ialah 1410 mm manakala belakang ialah 1405 mm.

          Semua model mempunyai kapasiti 5 penumpang dan kapasiti ruang simpan belakang yang sangat luas iaitu sebanyak 508 liter. Radius belokan minimum untuk model ini ialah 4.5 meter. Kapasiti tanki minyak pula ialah sebanyak 36 liter.

            Dari segi luaran, bezza menggunakan 'double-reflector halogen lamps (chrome finish)'. Dalaman bezza dilengkapi dengan poket di belakang tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan, 2 tempat letak cawan di bahagian hadapan, poket di bahagian pintu hadapan dan belakang, cawan serbaguna, net bagasi, dan juga ruang simpan tambahan di dalam bonet belakang.

Ruang dalaman Bezza yang luas yang menjadi tarikan pembeli


             Semua varian ini menggunakan kuasa stereng elektronik (EPS). Kebaikan menggunakan EPS berbanding kuasa stereng hidrolik, ialah EPS tidak 'meminjam' kuasa daripada enjin kereta berbanding hidrolik untuk berfungsi. Hasilnya, ia dapat membantu menjadikan kereta lebih ekonomi minyak berbanding model yang menggunakan hidrolik. Selain itu, anda tidak perlu menukar minyak hidrolik untuk sistem EPS sepertimana untuk sistem stereng hidrolik. Jadi sudah tentu kos penyelenggaraan lebih murah.

            Dari segi keselamatan, semua varian dilengkapi dengan sensor mengundur, dua beg udara SRS, anti-lock braking system (ABS) dengan electronic brake force distribution (EBD). Ia juga dilengkapi dengan gagang anti-ragut di sebelah kanan tempat duduk penumpang hadapan, sistem ISOFIX, iaitu sistem untuk memasang tempat duduk bayi dan peringatan lampu hadapan. Penggera keselamatan, immobilizer dan pengunci stereng disediakan untuk semua varian.

             Aksesori yang diberikan untuk semua varian ialah 5 karpet dalaman, jaringan bagasi, segi tiga keselamatan dan juga tempat letak plet lesen.

PERBEZAAN

Bezza Standard G


           Varian ini mempunyai pilihan transmisi manual dan transmisi automatik elektronik. Ia merupakan satu-satunya varian yang menggunakan enjin 1.0L 3 silinder. Jenis enjin yang digunakan ialah 1KR-VE dengan VVT-i. Jumlah anjakan silinder untuk enjin ini ialah 998 cc. Pengeluaran kuasa maksimum untuk enjin ini ialah 50kW pada 6000 rpm dan maksimum tork 91Nm pada 4400 rpm dengan 78 kuasa kuda untuk transmisi manual dan 76 kuasa kuda untuk automatik. Penggunaan minyak untuk varian ini ialah 22.8 km per liter untuk manual dan 21.3 km per liter untuk automatik (berdasarkan ujian dalaman yang dijalankan).

           Rim 175/65 R14 alloy (8 spok) digunakan untuk varian ini (tayar simpanan: 175/65 R14 steel rim). Ia tidak dilengkapi dengan lampu kabus hadapan dan cermin sisi elektronik seperti varian lain. Pemegang pintu ia diwarnakan sama dengan warna badan kereta, bukan krom. Ia juga tidak dilengkapi dengan kit badan. Dari segi dalaman, reka bentuk penunjuk meter tidak dilengkapi dengan iluminasi bingkai. Kluster tengah menggunakan warna material. Tempat duduk menggunakan material fabrik dengan tempat rehat kepala yang dibina bercantum dengan kerusi di bahagian belakang. Trim pintu tidak menggunakan material fabrik sebagai kemasan.

          Sistem audio dilengkapi dengan tempat sambungan USB. Ia hanya dilengkapi dengan 2 pembesar suara bersaiz 10cm, di bahagian hadapan sahaja. Slot untuk meletak telefon bimbit disediakan di konsol belakang, tetapi sambungan USB tidak disediakan di bahagian ini. Ia tidak menggunakan sistem 'Smart Entry' dan sistem butang untuk menghidupkan enjin seperti varian lain. Ia menggunakan kunci dengan sistem pengunci kawalan jauh tradisional. Bahagian meter dilengkapi dengan paparan pelbagai info yang menunjukkan beberapa info seperti odometer, peringatan servis, anggaran jarak untuk baki minyak dan sebagainya.

Bezza Premium X

                Seperti varian G, varian ini juga mempunyai pilihan untuk pembeli, dengan kedua-dua transmisi, automatik dan manual, disediakan. Ia menggunakan enjin berkapasiti 1.3L, sama seperti yang digunakan untuk varian Advance. Jenis enjin yang digunakan ialah 1NR-VE dengan Dual VVT-i. Jumlah anjakan silinder ialah 1329 cc dan dilengkapi dengan 4 silinder berbanding 3 untuk varian G. Ia mempunyai pengeluaran kuasa maksimum 70 kW pada 6000 rpm dengan tork maksimum 121 Nm pada 4000 rpm. Enjin ini mempunyai 104 kuasa kuda untuk transmisi manual dan 103 kuasa kuda untuk manual. Walaupun mempunyai kapasiti yang lebih tinggi berbanding enjin 1.0L, enjin ini juga termasuk dalam kategori penggunaan tenaga berkesan. Transmisi automatik menggunakan 1 liter minyak pada setiap 21.7 km manakala manual, 21.0 km.


Risalah iklan Perodua yang menunjukkan kadar penjimatan minyak Bezza

              Dari segi luaran, varian ini menggunakan jenis rim yang sama seperti varian G. Lampu kabus hadapan dan cermin sisi elektronik disediakan. Cermin sisi dilengkapi dengan lampu isyarat pembelok. Pemegang pintu dilapis dengan warna krom dan butang 'Smart Entry' untuk bahagian pintu pemandu.

              Dari segi dalaman, meter hadapan dihiasi dengan iluminasi bingkai. Kluster tengah bahagian hadapan pula dihiasi dengan lapisan cat hitam 'Piano finish'. Tempat duduk menggunakan material fabrik dan menggunakan jenis 'semi-bucket' yang dapat memberikan lebih keselesaan. Tempat rehat kepala di kerusi bahagian belakang boleh dicabut. Trim di bahagian dalaman pintu menggunakan material fabrik. Sistem audio untuk varian ini dilengkapi dengan penyambung USB dan juga s Bluetooth. Ia juga dilengkapi dengan 2 pembesar suara di bahagian hadapan bersaiz 10 cm dan 2 pembesar suara di bahagian belakang bersaiz 16 cm. Slot tempat letak telefon bimbit di bahagian belakang dilengkapi dengan penyambung USB.

              Kunci untuk varian ini menggunakan sistem 'Smart Entry', di mana pengguna mempunyai lebih pilihan berkenaan cara membuka kenderaan. Smart Entry memudahkan pengguna di mana kita tidak perlu untuk memegang kunci dan menekan butang kunci, tetapi kita boleh juga menekan butang bahagian pintu pemandu untuk masuk ke dalam kenderaan, dengan syarat kunci berada berhampiran, tidak lebih daripada 1 meter. Maka anda tidak perlu mengeluarkan kunci dari poket untuk masuk ke dalam kereta. Butang pemula enjin juga memudahkan pengguna dan ia ada disertakan untuk varian ini.

              Cermin untuk varian ini dan Advance dilengkapi dengan perlindungan jem di cermin bahagian pemandu. Ia bermaksud, jika ada objek atau tangan menghalang cermin tersebut tutup sepenuhnya, maka secara automatik cermin tersebut akan berhenti. But belakang boleh dibuka dengan dua cara. Pertama dengan menekan butang buka but di kunci. Kedua, dengan menekan butang di bahagian belakang but, terletak di atas nombor plet. Ketinggian tempat duduk pemandu dapat diubah untuk varian ini. Sensor di bahagian hadapan, lapisan solar dan sekuriti cermin, dan juga cawan pelbagai guna disediakan untuk varian ini.

Bezza Advance

               Varian penuh untuk Bezza ini mempunyai pelbagai aksesori tambahan berbanding varian lain. Ia dilengkapi dengan sistem 'Eco Idle' yang boleh membantu menjimatkan minyak untuk varian ini sehingga 22 km  untuk seliter minyak. Ia berfungsi dengan mematikan enjin ketika kereta diberhentikan ketika pemandu menekan pedal brek, tetapi fungsi elektronik seperti kipas dalam kabin tidak terganggu. Ia bertujuan supaya minyak tidak terbuang sia-sia ketika kereta berhenti, selain dapat membantu mengurangkan pencemaran. Enjin akan bermula secara automatik ketika pedal brek dilepaskan. Jika pengguna tidak mahu menggunakan ciri ini, butang untuk mematikan ciri ini disediakan di bahagian hadapan.


             Rim yang digunakan ialah 175/65 R14 alloy dengan 5 spok bercorak spiral. Cermin sisi dapat dilipat secara elektronik dengan menggunakan butang dalaman. Ia juga dilengkapi dengan kit badan sisi, kerusi dan stereng yang dilapik menggunakan material kulit, dan stereng yang mempunyai butang kawalan audio. Sistem audio untuk varian ini menggunakan sistem multimedia berserta dengan navigasi GPS, sistem 'Smart Link', juga kamera mengundur. Ia dilengkapi dengan 2 pembesar suara bahagian hadapan bersaiz 16cm dan 2 di bahagian belakang juga bersaiz 16 cm.

Sistem multimedia untuk Bezza varian Advance

            Dari segi keselamatan, varian ini dilengkapi dengan sistem 'Vehicle Stabilty Control' (VSC) , 'Brake Assist' (BA), 'Hill Start Assist' (HSA) dan 'Traction Control' (TC). VSC secara asasnya dapat membantu menstabilkan kenderaan ketika membelok di permukaan licin. BA pula dapat membantu ketika pemandu menekan brek ketika kecemasan dengan mempercepatkan tindakan brek untuk memberhentikan kereta ketika pedal brek ditekan mengejut. HSA dapat mengelakkan kereta mengundur ketika menaiki bukit. TC pula, berfungsi dengan memperlahankan kenderaan secara automatik ketika belokan laju untuk memastikan cengkaman tayar di permukaan jalan masih kukuh dan dapat mengelakkan kemalangan.

Muat turun risalah rasmi Perodua Bezza

Risalah Perodua Bezza PDF

Ditulis oleh: Abdullah Mohammad
©2018 borneoauto.com | Hak cipta terpelihara

Catat Ulasan

0 Ulasan