header ad

Apa maksud kereta Recond?

              
Toyota Vellfire

         Kita sering mendengar berkenaan kereta recond. Antara model recond yang popular ialah Toyota Vellfire, Toyota Estima dan Toyota Wish. Apa sebenar maksudnya dan apa membezakannya dengan kenderaan baharu dan terpakai?

         Secara asasnya, recond atau perkataan penuhnya reconditioned bermaksud kenderaan yang dibaik pulih dan dijual semula di pasaran. Apa yang membezakannya dengan kenderaan terpakai tempatan ialah recond merujuk kepada kenderaan terpakai yang diimport dari luar negara dan dijual semula di sini. 

            Syarat yang ketat daripada JPJ untuk membawa masuk kereta terpakai dari luar negara menyebabkan kualiti kereta recond biasanya dalam keadaan yang baik bahkan seperti kereta baharu berbanding kereta terpakai tempatan.
  
       Terma recond biasanya digunakan bergandingan dengan terma unregistered atau unreg. Kenderaan terpakai yang diimport dikatakan unreg kerana belum ada pemilik tempatan dan belum pernah berdaftar di bawah penguatkuasa tempatan iaitu JPJ. 

        Seperti yang disebut di atas, model keluaran Toyota seperti Vellfire, Estima dan Wish antara model kereta recond yang mendapat banyak sambutan di negara kita. Selain itu, model recond mewah dari Eropah juga mempunyai peminatnya tersendiri seperti Mercedez, BMW dan juga Hummer. 

         Kereta recond kebanyakannya dijual lebih murah berbanding kereta baharu walaupun modelnya sama dan inilah antara sebab utama kereta recond mendapat sambutan yang menggalakkan. Sebagai contoh model baharu Toyota Vellfire dijual pada harga RM 362,000 manakala model Vellfire recon tahun 2016 dijual sekitar RM 260,000 dan kedua-duanya mempunyai aksesori dan ciri-ciri yang hampir sama.


Naza Motor Trading Sdn Bhd merupakan antara pengedar kereta recond terbesar Malaysia

        Syarikat yang menjalankan jual beli kereta recond mempunyai permit import atau approved permit (AP) yang dikawal oleh kerajaan. Setiap syarikat tersebut diberi kuota terhad untuk bilangan kenderaan yang hendak diimport untuk mengawal bilangan kenderaan di Malaysia dan juga memastikan persaingan yang adil untuk syarikat pengedar kenderaan baharu. 

          Setiap kenderaan juga hendaklah melepasi spesifikasi minimum sebelum dibenarkan masuk. Antara yang diambil kira ialah kapasiti enjin, tahap pencemaran yang dikeluarkan dan fungsi-fungsi asas yang lain. Kebiasaannya untuk kereta recond, syarikat penjual akan memberikan waranti selama enam bulan. 


Pusat pengedar kereta recond di Kuching, Sarawak

             Bagaimana pula pendapat anda tentang kereta recond ni dan model apa yang anda paling minat? Jangan lupa tinggalkan komen anda di bawah.   

      

Catat Ulasan

1 Ulasan

  1. Macam mana nk guns di Malaysia klu Tidak mendapat kelulusan jpj?

    BalasPadam