header ad

Cara Trade In kereta



          Setiap tahun pasti ada model terbaharu yang dikeluarkan oleh setiap syarikat pengeluar kereta. Bagi yang bercadang untuk membeli kereta baharu, tidak kurang dalam kalangan mereka untuk menjual kereta lama dan digantikan dengan kereta baharu. Istilah yang selalu digunakan ialah trade-in, merujuk kepada pertukaran kereta lama dengan kereta baharu.

          Adakah kereta lama akan diambil oleh syarikat kereta baharu? Ini merupakan sangkaan biasa daripada pembeli yang berniat untuk trade in. Sebagai contoh, mereka hendak membeli Perodua Myvi keluaran terkini, dan ingin menjual model kancil yang dipakainya ketika ini. Dia bertanya adakah yang membeli kancil tersebut adalah oleh Perodua sendiri? Jawapannya ya dan tidak. Ya jika anda ingin menjual di syarikat kereta terpakai Perodua Pre-Owned Vehicle (POV) . Tetapi Perodua POV hanya di lembah Klang sahaja, di mana ia baru sahaja dibuka untuk bisnes pada penghujung tahun 2017. Jika pelanggan berada jauh, terutama di Sabah & Sarawak contohnya, sudah tentu berurusan dengan Perodua POV menjadi tidak praktikal maka jawapan bagi soalan di atas ialah tidak untuk situasi ini.


Pusat jualan Perodua POV
          Kebiasaannya urusan trade-in diuruskan oleh jurujual itu sendiri. Terdapat beberapa cara jurujual itu menguruskan trade in. Kebiasaanya, mereka akan bertanya dengan beberapa syarikat kereta terpakai  untuk mendapatkan harga pasaran dan memilih syarikat mana yang memberi harga paling tinggi. Jika ada, jurujual tersebut akan memberitahu pelanggan dan temujanji akan dibuat dengan syarikat kereta terpakai tersebut untuk memberi harga muktamad setelah melakukan inspeksi kereta lama pelanggan tersebut. 

           Selain itu, jurujual tersebut juga boleh menjual kepada pembeli yang berminat dengan kereta tersebut secara terus. Contohnya, jurujual kebetulan ada kenalan yang sedang mencari kancil, maka kancil tersebut boleh dijual secara terus kepada pembeli yang berminat jika pemilik kancil tersebut bersetuju dengan harga yang ditawarkan. 

           Ada juga jurujual yang mampu untuk mengambil sendiri kereta lama pelanggannya, terutama jurujual yang berkecimpung lama dalam penjualan kereta. Mereka menggunakan modal sendiri untuk membeli kereta tersebut dan akan menjualnya kembali jika ada pembeli yang berminat.


Model Perodua POV
         Bilakah urusan trade in ini dilakukan? Ianya terpulang dengan situasi pelanggan. Jika pelanggan tersebut mempunyai kenderaan lain untuk digunakan, dia boleh menjual kereta tersebut pada fasa awal pembelian kereta baharu seperti sebelum aplikasi pembiayaan kereta baharu. Jika dia tidak yakin pembiayaannya dapat diluluskan, dia boleh menunggu sehingga keputusan keluar. 

          Jika pelanggan tersebut tidak mempunyai kereta lain untuk dipakai, dia boleh menunggu sehingga kereta baharunya selesai diuruskan, jadi pelanggan tidak menunggu terlalu lama dalam keadaan tiada berkenderaan. Jika pelanggan ingin menggunakan wang yang diperolehi daripada jualan kereta lama sebagai deposit kereta baharunya, maka kereta tersebut hendaklah dijual lebih awal kerana kebiasaanya syarikat pengedar kereta baharu tidak akan mendaftar keretanya di JPJ selagi deposit belum dibayar.

         Pelanggan juga boleh menjual kereta lamanya sendiri tanpa dibantu oleh jurujual, tetapi ia mungkin mengambil masa untuk mencari mereka yang berminat membeli. Terdapat banyak laman web yang boleh digunakan untuk mempromosi kereta yang hendak dijual, antara yang popular sekarang ini ialah seperti laman web mudah dan carlist

          Bagaimana untuk kereta lama yang masih berhutang dengan bank? Masih boleh trade in jika baki hutang lebih rendah daripada harga jualannya. Jika lebih tinggi, masih boleh jika pelanggan mampu untuk menambah bajet sendiri untuk menampung perbezaan harga. Bagaimanapun hutang bank wajib diselesaikan kerana proses pertukaran nama di JPJ tidak dapat disahkan jika masih ada hutang bank.

            Ya tidak dinafikan banyak kes penipuan berlaku dalam urusan trade in ini. Pastikan anda tidak lalai dan anda terlibat dalam setiap langkah proses trade in ini. Jika berurusan dengan syarikat kereta terpakai, pastikan anda sendiri yang mengambil duit secara terus dari syarikat tanpa orang tengah. Juga pastikan urusan trade in ini benar-benar selesai dengan menukar nama di JPJ. Jika tidak ada pertukaran nama, apa-apa saman dan jenayah yang melibatkan kereta tersebut, anda masih boleh terlibat sama seperti halnya dengan penjualan kereta sambung bayar yang terang-terang bertentangan dengan undang-undang. 

             Berikut merupakan sedikit gambaran bagaimana trade in dilakukan. Jangan lupa komen di bawah jika ada persoalan ataupun penambahan daripada mereka yang berpengalaman menguruskan trade in. 

Catat Ulasan

0 Ulasan