header ad

Apa beza RON95 vs RON97 vs Diesel?


Apa kebaikan isi RON97 kalau RON95 jauh lagi murah, kenapa nak membazir? Saya rasa pasti ada yang pernah bertanya soalan tersebut. Dan tidak kurang juga ada yang mendengar kenyataan begini. "Baik ko isi guna RON97, walaupun mahal tapi minyak lambat habis. Enjin ko pun lagi tahan lama pakai minyak lagi premium ni", Kata Abu kepada Tae Won.

Apa sebenarnya maksud di sebalik nombor 95 dan 97?

RON adalah singkatan kepada "Research Octane Number" merupakan penarafan yang paling meluas digunakan untuk memberi kategori kepada bahan bakar yang digunakan untuk kenderaan.

RON merujuk kepada tahap tekanan yang boleh diserap oleh bahan bakar tanpa meletup atau menyala dengan sendiri. Semakin rendah kadar RON, semakin rendah tekanan yang diperlukan untuk bahan bakar terbakar sendiri. Kadar RON tidak bermaksud 1 liter RON97 membakar lebih banyak tenaga berbanding 1 liter RON95.  

Contoh yang paling jelas untuk aplikasi RON adalah enjin diesel. Minyak diesel mempunyai kadar RON antara 15 - 25. Untuk pengetahuan anda, enjin diesel mempunyai mekanisma yang berbeza daripada enjin petrol untuk menyalakan bahan bakar dan seterusnya memberi tenaga untuk memutar enjin. 

Enjin diesel tidak menggunakan palam pencucuh seperti enjin petrol. Bahan bakar diesel menyala dengan sendiri apabila diberikan tekanan yang mencukupi ketika fasa mampatan dan seterusnya menggerakkan kepala silinder untuk menukar tenaga kepada pergerakan mekanikal.

Bagaimana enjin diesel berfungsi

Apakah kelebihan jika menggunakan kadar RON yang lebih tinggi? RON yang lebih tinggi membolehkan enjin menambah tekanan pada ruangan silinder ketika fasa mampatan.

Animasi enjin petrol oleh Zephyris -CC

Kebolehan untuk memberi tekanan pampatan yang lebih tinggi sebelum bahan bakar menyala membolehkan enjin tersebut mencapai keberkesanan haba yang lebih baik. Enjin yang mempunyai tekanan lebih tinggi memerlukan kurang isipadu minyak untuk menghasilkan kuasa yang sama.

Enjin yang mempunyai tekanan yang lebih tinggi ini juga membolehkan jumlah isi padu minyak yang sama digunakan pada enjin biasa memberikan kuasa yang lebih tinggi. Ini adalah karakteristik untuk enjin berprestasi tinggi.

Bagaimana pula jika kadar RON yang berbeza digunakan pada enjin yang sama?

Inilah persoalan utama yang kami hendak kongsikan untuk anda pada artikel ini. Jawapannya, untuk enjin yang sama, tiada bukti dan statistik jelas yang menunjukkan kelebihan menggunakan RON97 memberi kuasa dan penjimatan minyak yang lebih baik berbanding RON95.

Ini adalah kerana, kekuatan tekanan dalam ruangan silinder enjin tetap sama walaupun menggunakan minyak yang berbeza.

Tetapi, jika kadar RON terlalu rendah digunakan pada enjin, akan berlaku 'knocking', bermaksud bahan bakar terbakar terlalu awal sebelum masanya kerana tekanan dalam silinder. Ini boleh menyebabkan kerosakan serius pada enjin. Sebab itu elakkan isi minyak diesel dalam enjin petrol.

Kelebihan RON yang lebih tinggi adalah ketika ia digunakan pada enjin yang berprestasi tinggi seperti yang kami sebut di atas. 

Terdapat faktor lain juga yang tidak boleh diabaikan. Di pasaran, RON yang lebih tinggi seperti RON97 biasanya diberikan formula tambahan atau additif yang berbeza berbanding RON yang lebih rendah seperti RON95. 

Contohnya, Petronas RON97 diberikan formula Pro Race, di mana additif tersebut membantu membersihkan dalaman enjin dan membantu mengurangkan geseran lebih berkesan berbanding formula yang diberikan dalam RON95 mereka. 

Ini bermaksud minyak RON97 mungkin lebih efisyen berbanding RON95 tetapi ia disebabkan oleh additif tambahan, bukannya kadar RON itu sendiri.

Catat Ulasan

0 Ulasan