header ad

Kenapa signal Perodua sebelah kanan, Proton kiri?



Saya pasti ramai yang terkeliru dan pernah tersalah apabila mereka membawa kereta Proton selepas pandu kereta Perodua dan sebaliknya. Niat nak bagi isyarat membelok, tetapi pengelap cermin pulak terhidup. Persoalannya, kenapa tuas isyarat membelok Perodua berada di sebelah kanan dan Proton sebelah kiri? 

Nota:
Tuas (Malay) = Lever (English)

Adakah kerana Perodua tidak mahu mengikut abang long nya Proton untuk memberi identiti sendiri, atau saja je nak bagi pengguna keliru?

Sebenarnya tidak semua tuas isyarat Proton berada di sebelah kiri stereng. Untuk model Proton yang diasaskan daripada model Jepun seperti kereta Wira, tuas isyarat terletak di sebelah kanan.



Tuas isyarat yang berada di sebelah kanan merupakan identiti untuk kereta di Jepun, yang menggunakan sistem kedudukan pemandu di sebelah kanan. Bagi saya, kenapa ia terletak di sebelah kanan adalah kerana tuas isyarat dan tuas gear merupakan komponen yang aktif dan paling kerap digunakan oleh pemandu.

Jadi ia akan sedikit sebanyak memudahkan pemandu jika tuas isyarat dan tuas gear berada di kedudukan yang berlainan, kerana setiap tangan boleh menggunakan kedua-duanya secara bebas.

Untuk kereta keluaran Eropah selain UK, tuas isyarat berada di sebelah kiri kerana menggunakan sistem kedudukan pemandu sebelah kiri. Tetapi untuk kereta Eropah yang dijual di pasaran Malaysia, walaupun kedudukan stereng telah dipindahkan ke sebelah kanan ia tetap mengekalkan kedudukan tuas isyarat di sebelah kiri.

Mungkin sebabnya adalah untuk mengurangkan kos dalam proses pembuatan di mana komponen yang sama di Eropah boleh digunakan untuk pasaran tempatan.

Seperti yang kita semua sedia maklum, Perodua merupakan syarikat kerjasama Malaysia dan Jepun melalui syarikat Daihatsu dan Toyota.

Hampir semua model Perodua merupakan model Jepun yang ditukar logo dan sedikit ubah suai untuk kesesuaian pasaran tempatan. Sebab itu model Perodua mempunyai kedudukan tuas isyarat di sebelah kanan. Lagipun kenapa nak tukar bukannya wajib pun, kan membazir.





Bagi Proton pula, untuk model yang dibuat sendiri tanpa diasaskan daripada model jenama lain seperti Saga, Preve dan Exora, kedudukan tuas isyarat direka untuk berada di sebelah kiri.

Bagi yang telah memandu uji beberapa model Proton, kita akan dapati Proton lebih berkiblatkan Eropah berbanding Jepun. Ini kita dapat lihat dari segi aspek pengendalian, praktikaliti, chasis dan ekonomi minyak.

Proton lebih mengutamakan pemanduan, pengendalian lebih berprestasi, badan yang lebih tegap berbanding ekonomi minyak. Untuk Perodua pula, ia lebih mengutamakan praktikaliti, ekonomi minyak, komponen tahan lama dan keselesaan berbanding pemanduan berprestasi seperti kebanyakan kereta keluaran Jepun.

Dengan pemerhatian ini, boleh dikatakan Proton lebih berkiblatkan Eropah berbanding Jepun terutamanya dengan pengambil alihan syarikat Lotus (sekarang ini dimiliki oleh Geely). Ini saya rasa sebab utama kenapa kebanyakan model Proton tuas isyaratnya berada di sebelah kiri, seperti kereta Eropah lain yang dijual di sini.

Bagaimana pula dengan pendapat anda? Lontarkan komen anda di bawah.


Catat Ulasan

0 Ulasan