Jika anda sedang mencari kereta jenis sedan baharu dalam julat harga mampu milik, maka model Perodua Bezza dan Proton Saga akan muncul dalam halaman pertama carian internet anda. Mana tidaknya, kedua-dua model ini adalah model sedan baharu yang paling murah di pasaran buat masa ini.
Jika anda telah mengkaji semua model yang ada di pasaran dan hanya Bezza dan Saga menjadi finalis terakhir anda, mana satu yang lebih berbaloi? Kami cuba simpulkan perbezaan antara keduanya.
Perodua Bezza
Diperkenalkan pertama kali pada tahun 2016, Ia merupakan model sedan pertama yang dikeluarkan oleh Perodua. Ia juga merupakan rekaan 'In house' oleh Perodua, berbeza dengan kebanyakan model mereka yang diubah suai daripada model sedia ada daripada pengeluar kereta Toyota dan Daihatsu. Contoh seperti model Perodua Aruz yang diambil daripada Toyota Rush.
Baca: Perbezaan Perodua Aruz vs Toyota Rush
Walaupun ia rekaan sendiri oleh Perodua, casis yang digunakan daripada jenis yang sama seperti Perodua Axia. Ia telah melalui beberapa fasa pengubahsuaian. Facelift yang terkinibaru sahaja dilancarkan pada tahun ini. Perodua Bezza diberikan 3 pilihan varian, iaitu versi G 1.0 manual dan auto, Premium X 1.3 auto dan Advance 1.3 auto.
Ia dikuasakan oleh enjin 1KR-VE 3 silinder untuk versi 1.0L (69 kuasa kuda) dan 1NR-VE 4 silinder untuk 1.3L (96 kuasa kuda). Kotak gear automatik menggunakan jenis 4 kelajuan. Perodua memberikan statistik 22km per liter bagi penjimatan minyak dan varian 1.0L mempunyai kelebihan dalam aspek ini. Bagi yang nak bertanya, enjin ni pakai timing chain ye.
Perodua Bezza mempunyai ukuran saiz badan 4,170 mm panjang, 1,620 mm lebar dan 1,525 mm tinggi. Beratnya adalah sekitar 940 kg. Ia mempunyai isipadu bonet yang luas iaitu sebanyak 508 liter. Manakala isipadu untuk setiap isian penuh petrol ialah sebanyak 36 liter. Varian G dan Premium X diberikan rim bersaiz 14 inci dan 15 inci untuk varian Advance.
Rekaan dalaman Bezza |
Dari segi keselamatan, semua varian dilengkapi dengan 2 beg udara, anti-lock braking system (ABS) dan electronic brakeforce distribution (EBD) dan immobilizer. Electronic stability control (ESC) diberikan untuk varian Premium X dan Advance, manakala Hill start assist (HSA) untuk varian Advance sahaja. Ciri keselamatan Advance Safety Assist 2.0 kini diberikan untuk varian Bezza Advance, berbanding sebelum ini hanya diberikan untuk model Perodua Myvi AV dan Perodua Aruz AV.
Proton Saga
Proton Saga merupakan lagenda dalam industri automotif negara. Ia merupakan model pertama yang dilancarkan sejak penubuhan Proton pada tahun 1985. Proton Saga diberikan sentuhan terkini pada tahun 2019, dan terdapat peningkatan permintaan yang ketara, menjadikan Proton Saga model Proton yang terlaris pada tahun ini.
Proton Saga model 2019 dikuasakan oleh enjin Proton 1.3L VVT S4PE 4 silinder menghasilkan sehingga 94 kuasa kuda. Ia digunakan untuk semua varian, iaitu Standard manual/auto dan Premium auto. Enjin Proton Saga ini masih menggunakan timing belt.
Baca: 5 Perbezaan timing belt vs timing chain - mana lebih bagus?
Perbezaan utama yang menarik perhatian untuk model 2019 ini adalah varian automatik diberikan kotak gear jenis 4 kelajuan yang dibekalkan oleh Hyundai. Ia berbeza untuk model automatik sebelum ini yang menggunakan kotak gear jenis CVT yang kurang digemari dalam kalangan pengguna. Kotak gear baharu ini lebih diyakini kerana dikatakan memberikan pemanduan yang lebih responsif dan senyap di samping tahan lebih lama berbanding jenis CVT.
Proton Saga mempunyai dimensi badan 4,331 mm panjang, 1,689 mm lebar dan 1,491 mm tinggi. Bermaksud ia lebih panjang dan lebar tetapi lebih rendah berbanding Perodua Bezza. Saga mempunyai berat sekitar 1,080 kg, isi padu bonet 420 L dan 40 L untuk setiap isian minyak penuh. Varian standard diberikan rim bersaiz 14 inci manakala varian premium diberikan rim 15 inci.
Kabin Saga menggunakan tapisan udara N95 |
Proton Saga kalah dari segi ekonomi minyak, iaitu sekitar 15km untuk setiap liter, ia tetap menang untuk aspek pemanduan. Kesan daripada pemilikan Lotus oleh Proton sebelum ini, ia masih menang dari segi belokan pada selekoh dan kestabilan pada kelajuan yang tinggi. Ia daripada perbandingan saya sendiri yang sudah mencuba kedua-duanya. Anda boleh mencuba pandu uji dan kongsikan pendapat anda dalam ruangan komen di bawah.
Seperti Bezza, semua varian Proton Saga diberikan 2 beg udara, ABS dan EBD. Semua varian juga menggunakan kunci biasa, bermaksud tiada ciri butang Tekan-mula. Untuk Bezza, varian X dan Advance mempunyai butang tersebut. Hanya varian Saga Premium diberikan ciri ESC dan HSA.
Harga
Berikut merupakan perbandingan harga untuk setiap varian Perodua Bezza dan Proton Saga (Harga semenanjung, belum termasuk insurans)
Perodua Bezza 1.0 G Manual RM 34,580
Perodua Bezza 1.0 G Auto RM 36,580
Perodua Bezza 1.3 Premium X Auto RM 43,980
Perodua Bezza 1.3 Advance Auto RM 49,980
Proton Saga 1.3 Standard Manual RM 32,800
Proton Saga 1.3 Standard Auto RM 35,800
Proton Saga 1.3 Premium Auto RM 39,800
Antara dua model ini, yang mana satu jadi pilihan anda? Tulis jawapan anda di bawah.
0 Ulasan